Calon BN Khairy Jamaluddin berkata dia tidak mempunyai pilihan selain meminta untuk bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh kerana kepimpinan parti tidak memberi petunjuk ke mana dia akan diletakkan.

Mengetahui dia perlu mengosongkan Rembau bagi memberi laluan kepada bekas MB Negeri Sembilan Mohamad Hasan, Khairy berkata dia terpaksa mengambil inisiatif mencari tempat untuk dirinya sendiri selepas pimpinan parti meninggalkannya ‘dalam kegelapan’.

Khairy berkata demikian ketika berkempen hari ini susulan pendedahan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan tiada sesiapa memaksa menteri kesihatan itu bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan, tetapi dia sendiri yang memilih untuk bertanding di sana.

“Hakikatnya tiada lagi pilihan, pucuk pimpinan tidak ada beri isyarat pergi mana-mana kawasan, tinggal begitu sahaja.

“Saya tahu saya kena keluar dari Rembau, saya tidak diberi pilihan, saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya.

“Saya yang ambil inisiatif, jumpa (Pengerusi BN Selangor) Noh Omar dengan Vicky (presiden MIC Vigneswaran).

“Bila tak banyak kerusi yang tersedia, tinggal dua, tiga kerusi saja, saya kata okay, saya pilih Sungai Buloh,” kata Khairy.

Jelasnya, dia tidak memilih kerusi itu dari awal lagi kerana menunggu “isyarat dari pucuk pimpinan” sebelum mengorak langkah ke parlimen itu.

Malah, kata KJ, idea untuk bertanding di Selangor dicetuskan oleh Noh, yang digugurkan daripada bertanding di kerusi Tanjong Karang untuk kali ketujuh.

“Tan Sri Noh call saya, kata brother kalau tidak ada tempat dah, kenapa tidak kamu datang ke Selangor, cakap dengan presiden MIC, minta tukar Sungai Buloh sebab Sungai Buloh ni dulu MIC,” katanya.

Pun begitu, Khairy berkata dia tidak mahu bertelagah secara terbuka dengan presiden Umno berhubung isu ini sebaliknya menumpukan usaha meraih kemenangan untuk BN.

Perpecahan dalam Umno telah menyebabkan ramai veteran parti dan menteri kabinet digugurkan sebagai calon PRU15, dengan perpindahan Khairy ke Sungai Buloh dilihat oleh pengulas politik sebagai isyarat rasa tidak senang Zahid terhadapnya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *