Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar ganja.

Yasin berkata, keputusan itu satu perkembangan positif bagi dirinya.

“Syukur… Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada rakan dan keluarga yang banyak memberi sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, lapor Astro Awani.

Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan mahkamah biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.

“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini.

“Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

Terdahulu, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

Bagaimanapun dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *