PASIR MAS – Seorang peniaga pakaian terpakai (bundle) berjaya menjual sehelai baju T bundle Geisha Official keluaran terkemuka dunia iaitu Nike pada harga RM37,500 menerusi jualan secara bidaan menggunakan ‘live’ Facebook.
Mohd Suhairi Mat Daud, 40, atau lebih dikenali sebagai Mat Yie Tok Ube berkata, item ‘rare’ yang berusia hampir empat dekat itu telah dibeli oleh seorang pengumpul pakaian ‘vintage’ dari Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah ia merupakan rezeki buat saya dan terima kasih kepada Otai Lee kerana sanggup ‘membida’ pada harga yang disifatkan sebagai rekod tertinggi jualan setakat ini,” katanya kepada pemberita di Kampung Tok Uban di sini pada Isnin.
Menurutnya, walaupun dilihat sebagai sehelai ‘kain buruk’ oleh orang ramai, namun bagi peminat pakaian vintage ia sesuatu yang bernilai terutama dari sudut susur galur baju T berkenaan.
Katanya, baju T yang dijual itu merupakan edisi terhad dan difahamkan tidak lebih 10 item tersebut berada di dalam negara ini.