BEKAS Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy mengumumkan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Waytha yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), berkata beliau mahu menyelesaikan misinya untuk membantu masyarakat India yang miskin dan tertindas.

“Saya menunggu cukup lama untuk respons Pakatan Harapan (PH) terhadap permintaan saya menyertai gabungan mereka,” katanya memetik laporan FMT.

Jelasnya lagi, beliau menunggu maklum balas Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama selama dua tahun.

“Tindakan PH berdiam diri bukan pilihan bagi saya. Saya rasa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak mahu menjalin sebarang kerjasama dengan saya. Saya hormat keputusannya dan perlu mara demi masyarakat yang saya wakili,” katanya.

Waytha berkata, beliau mempunyai ‘urusan belum selesai’ dan mahu memastikan masyarakat India menjadi sebahagian daripada ekonomi arus perdana dan perkhidmatan awam.

“Misi saya ialah menyediakan dan mewujudkan peluang bagi belia, baik dalam kerajaan mahupun sektor swasta.

“Misi saya ialah menangani kemiskinan tegas yang menjejaskan sebahagian besar masyarakat itu,” katanya.

Beliau juga mahu memastikan golongan muda India, khususnya yang tercicir persekolahan diberikan latihan dan mempunyai alternatif untuk mengembangkan kemahiran mereka serta keupayaan mencari nafkah.

Penggerak utama perhimpunan Hindraf pada 2007 itu berkata, beliau sudah merangka rancangan untuk menyelesaikan masalah masyarakat buat selama-lamanya.

“Penting bagi sesiapa yang menjadi Perdana Menteri memahami isu unik yang dihadapi masyarakat India.

“Apa yang penting bagi saya ialah menyokong perdana menteri yang akan membantu saya dalam membina komuniti kita dan memenuhi perjalanan serta misi hidup saya,” katanya.

Waytha berkata, beliau sudah menemui Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau menyokong inisiatif dan rancangan saya untuk masyarakat India. Oleh itu, MAP dan saya akan menyokong BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Zahid,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *