Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya mahu menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik yang menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tetapi bersyarat.

Kerjasama itu bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata ini kerana pihak yang menang pada PRU15 merupakan parti pilihan rakyat, justeru Warisan menghormati keputusan tersebut dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan juga Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (menang PRU15), bila rakyat sudah buat keputusan, kita kena hormat… kita tidak boleh menafikan hak rakyat di negara ini,” katanya menurut Bernama.

Bagaimanapun, Shafie menegaskan beliau menolak sama sekali tindakan seperti dilakukan ketika Langkah Sheraton kerana ianya bukan mandat yang diberikan rakyat.

“Selepas pilihan raya, rakyat putuskan… nakkan kestabilan politik tetapi mesti ada kerjasama pintar,” katanya menerusi sesi perkongsian secara langsung dalam talian di laman Facebook malam tadi.

Mohd Shafie menjawab soalan seorang peserta sesi itu yang ingin tahu sama ada Warisan mahu bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan sekiranya gabungan politik itu memenangi PRU-15, ketika sesi perkongsian bertajuk ‘Gabungan dan Pakatan: Demi Rakyat atau Demi Poket’.

Beliau turut menegaskan langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak akan mengganggu-gugat perjuangan asal parti itu untuk membela rakyat dan negeri Sabah.

“Kita mesti bergabung dengan seluruh Malaysia… Presidennya (Warisan) dari Sabah tetapi isterinya orang Kedah.

“Kita sedang membina sebuah negara… sudah berpuluh tahun gabungan politik berpecah-pecah, mungkin perlukan angin dari timur (untuk satukan),” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.