Polis mengesahkan wanita yang didakwa menyerupai Zalina Azman yang ditemui di sebuah kafe di Seksyen 9, Shah Alam pada Ahad lalu bukan bekas penyampai televisyen berkenaan.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan itu dibuat susulan laporan yang dibuat oleh seorang pengguna Twitter yang mendakwa berjumpa wanita menyerupai Zalina dalam keadaan sugul dan ketakutkan.

Beliau berkata, sejak hebahan kehilangan Zalina dibuat, polis menerima beberapa laporan daripada orang awam yang juga mendakwa ternampak wanita mirip bekas personaliti televisyen itu.

“Kami dah pergi tengok tetapi bukan dia (Zalina), kami ada terima maklumat memang banyak, dua ke tiga maklumat diterima.

“Sebahagian ada yang mendakwa jumpa di hotel, lokasi sekitar Shah Alam seperti Seksyen 3, Seksyen 9 dan Seksyen 24 tetapi bila kita kenal pasti dia hanya gelandangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang giat mencari Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Anaknya, Mikhael Norman, 33, membuat laporan polis berhubung kehilangan bekas personaliti TV3 itu pada 29 November tahun lalu.

Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.