JOHOR BAHRU – Seorang wanita dipercayai mempunyai masalah mental mencucuk seorang kanak-kanak perempuan dengan garpu sehingga cedera di Jalan Austin Height 3, Taman Mount Austin, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam kejadian pukul 8 pagi itu, wanita yang tidak dikenali itu mencucuk kepala dan tangan kanak-kanak tersebut.
“Suspek mencederakan kanak-kanak itu di hadapan bangunan sebuah pusat tuisyen. Selepas mencederakan kanak-kanak itu, mangsa melarikan diri.
“Suspek dipercayai kurang waras. Mangsa dan bapanya tidak mengenali suspek, usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang dilakukan,” katanya satu kenyataan, di sini hari ini.
Wanita tersebut masuk ke rumah orang lain selepas mencederakan kanak-kanak tersebut dan kejadian berkenaan tular dalam media sosial.
Usaha mencari suspek dilakukan selepas bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan polis. -VOICE