KES SAUDARI YUSLAINI AZMI ATAU ‘LENY’ DAN DAKWAAN KEANGGOTAAN PKR DATUK WAN AHMAD NIZAM WAN ABDUL HAMID

Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Terengganu (MPNT) mengambil perhatian serius terhadap repot polis bertarikh 16 March 2021 yang telah dibuat oleh Saudari Yuslaini Azmi atau lebih dikenali sebagai Leny. Salinan repot tersebut telah tersebar secara meluas dalam beberapa kumpulan whatsapp dan media sosial. Difahamkan beliau telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut.

Dari pemantauan MPNT, Saudari Yuslaini Azmi telah kerap kali menggunakan nama-nama jawatan parti sama ada diperingkat cabang mahu pun negeri apabila beliau dilibatkan dalam beberapa program dan kenyataan media yang dibuat sebelum ini. Antara jawatan-jawatan yang telah digunakan oleh beliau untuk menampilkan diri sebagai aktivis politik ialah Ketua Srikandi Negeri dan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri Terengganu.

Hasil semakan dari Daftar Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Terengganu 2018 – 2021 di pejabat Setiausaha Negeri Parti Keadilan Rakyat Terengganu yang dikemaskini sehingga 15 Januari 2021 mendapati Saudari Yuslaini Azmi tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri, sebagaimana yang didakwa.

Lantikan untuk jawatan Ketua Srikandi Negeri adalah di bawah bidang kuasa Ketua Wanita Negeri sebagaimana dinyatakan dalam Peraturan Wanita PARTI KEADILAN RAKYAT 2014 pada PERKARA 11 Bahagian 11.4. Sementara jawatan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri yang diwujudkan mestilah terlebih dahulu mematuhi PERKARA 14 Bahagian 14.2 sebagaimana dinyatakan dalam PERATURAN ANGKATAN MUDA KEADILAN 2014.

MPNT juga ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, bekas ADUN Air Putih merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat. Kami telah menyemak dengan penuh teliti rekod Daftar Induk Anggota – Parti Keadilan Rakyat Negeri Terengganu dan Daftar Cabang Kemaman ( rekod sehingga 16 Oktober 2020 ) dan mendapati nama beliau tidak wujud sama sekali dalam daftar tersebut.

MPNT beranggapan bahawa kedua-dua insiden ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengatur langkah dengan muslihat politik murahan serta mengambil kesempatan secara sengaja untuk menjejaskan imej Parti Keadilan Rakyat khususnya Keadilan Terengganu. Pemaparan berita yang tidak bertanggungjawab secara berlebihan dan berterusan yang dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat Terengganu jelas membuktikan bahawa parti ini mula mendapat perhatian dan tempat tersendiri dikalangan rakyat Terengganu.

Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif
Ketua Penerangan Negeri

Selasa, 23 March 2021.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *