Meskipun kini sudah pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal, ada juga pesakit yang trauma tatkala mengenangkan pengalaman pahit sebagai pesakit COVID-19 yang pernah menjadi mangsa cemuhan kawan-kawan dan jiran.
Sungguh tidak disangka, sepatutnya sokongan dan kata semangat diharapkan daripada kawan, namun cemuhan dan kata-kata sinis yang diterima beliau.
Walaupun sudah sembuh, masih ada jiran dan orang kampung melabelkan mereka sebagai ‘super spreader COVID-19’, sehingga nak lalu depan rumahpun takut.
Ada yang larang mereka untuk keluar terus dari rumah walaupun mereka telah tamat tempoh kuarantin.
Mengulas stigma berkaitan COVID-19, pakar khidmat kaunseling dan psikologi bebas, Dr Wong Kok Fye, berkata budaya diskriminasi terhadap pesakit boleh memburukkan lagi keadaan, termasuk menjejaskan tahap kesihatan mental mereka.
Beliau berkata, kebanyakan netizen yang bertindak menular atau mendedahkan identiti pesakit COVID-19 adalah kerana rata-ratanya tidak dapat mengawal emosi dan perasaan marah.
“Ia secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kejadian buli siber terhadap pesakit COVID-19. Pesakit bukan sahaja derita dengan penyakit tetapi turut menghadapi tekanan perasaan dan mental.
Jika dibiarkan berlarutan, situasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan, malah menyukarkan usaha membendung penularan wabak COVID-19 kerana pesakit enggan memberi kerjasama kepada barisan hadapan seperti tidak mahu dikuarantin ataupun berjumpa doktor akibat stigma itu,” katanya.
Justeru, beliau berkata, penting untuk media melaporkan berita yang dapat memberi motivasi kepada pesakit COVID-19 ataupun pesakit dalam siasatan (PUI) yang sedang dikuarantin.
“Misalnya, berita bekas pesakit COVID-19 yang menderma plasma darah bagi membantu menghasilkan vaksin wabak itu, begitu mendapat reaksi positif masyarakat.
“Berita seperti ini bukan sahaja dapat memotivasikan pesakit, malah mereka akan sudi bekerjasama dan seterusnya menggalakkan bekas pesakit menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.
Seterusnya, Dr Wong turut mencadangkan individu yang mempunyai gejala wabak COVID-19 agar tidak segan untuk mendapatkan rawatan.
“Jangan fikir mengenai persepsi masyarakat. Yang penting, mereka perlu menjalani rawatan bagi membantu mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya.