SEORANG anggota polis terpaksa menggunakan pistol perenjat elektrik (taser gun) untuk menembak seorang warga emas setelah wanita itu menikam perutnya di hadapan sebuah sekolah.

Kejadian itu berlaku di kawasan sekolah menengah di Tampines, Singapura pada Isnin petang.

Menerusi video tular di media sosial, wanita berusia 53 tahun itu pada mulanya dikelilingi oleh kira-kira 10 anggota polis di luar Sekolah Menengah St Hilda.

Dia yang dilihat memakai baju hijau, berseluar hitam serta beg merah bertindak mengacu pisau ke arah semua anggota pihak berkuasa tersebut, sambil menjerit.

Pada masa sama, wanita itu membuat panggilan telefon menggunakan tangan kirinya selain menjatuhkan sesuatu dari tangan kanannya.

Salah seorang pegawai polis tersebut kemudian bertindak menendangnya, seterusnya memberi peluang kepada beberapa anggota lain untuk menangkapnya.

Kira-kira lima anggota polis dilihat menumbangkan badan wanita itu ke atas tanah.

Menurut polis, wanita itu enggan memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Wanita itu kemudian menikam perutnya dan mengugut untuk mencederakan dirinya sekali lagi,” kata salah seorang anggota polis.

Justeru, anggota polis yang berada di lokasi kejadian terpaksa menembak wanita tersebut menggunakan taser gun bagi mengelakkan wanita itu mencederakan dirinya dengan lebih teruk.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Singpapura dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.30 petang.

Dia ditahan kerana memiliki senjata di tempat awam dan turut disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Pada masa sama, warga emas itu turut ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental (Penjagaan dan Rawatan). — Agensi

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.