SEORANG wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan dekat persimpangan lampu isyarat Jalan Stulang Darat, Johor Bahru, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 1.05 pagi itu melibatkan sebuah Proton Exora, Persona dan Saga.
Katanya kenderaan perlbagai guna (MPV) Proton Exora dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Stulang Laut bersama lima penumpang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing.
“Semasa pemandu Exora membelok ke kanan, tiba-tiba datang Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai telah melanggar isyarat lampu merah merempuh MPV tersebut.
“Rempuhan itu mengenai sisi kiri Exora sehingga menyebabkan MPV itu berpusing sebelum melanggar Saga yang sedang berhenti di persimpangan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, dua penumpang belakang Exora telah tercampak keluar.
“Penumpang wanita yang merupakan seorang warga asing disahkan maut ketika menerima rawatan.
“Penumpang lelaki pula mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Aminah,” katanya.
Raub berkata, ketiga-tiga pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
“Saringan ujian air kencing ke atas pemandu Persona adalah negatif dadah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.