Content creator, Eyda atau nama sebenarnya Zuraidah Nasir, tampil memohon maaf di atas penerbitan video dalam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Selangor, yang dikecam orang ramai.
Menurut Eyda, dia menyedari video tersebut mengundang banyak kecaman netizen dan terus bertindak menarik balik video itu daripada terus dikongsikan di media sosial.
Tiada niat merendahkan kekuatan aset TLDM
“Assalamualaikum semua. Pada video kali ini, Eyda mahu membuat pengumuman berkenaan video TikTok kapal TLDM yang telah ditutup.
“Video itu dibuat pada 30 April 2023, sempena Ulangtahun TLDM ke-89 di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.
“Eyda dengan rendah hati memohon maaf kepada pihak TLDM berkenaan konten yang tidak disengajakan dan tiada niat sekali pun untuk merendahkan kekuatan aset TLDM.
“Eyda memohon maaf sangat-sangat sempena syawal masih menjelang ini,” katanya.
Dah tarik balik video, tetapi masih tular di media sosial
Menurut Eyda lagi, dia telah menarik balik penerbitan video tersebut daripada akaun TikToknya. Namun jika video itu masih ditularkan di mana-mana platform media sosial, itu adalah di luar kawalannya.
“Konten di TikTok Eyda sudah ditutup dan sebarang penyiaran di mana-mana media sosial yang dipost semula oleh orang atau page lain adalah bukan di bawah kawalan dan tanggungjawab Eyda.
“Eyda berharap agar konten itu turut dipadamkan agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan perdebatan lagi di masa hadapan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikToknya semalam.
Eyda juga menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Datuk Panglima untuk meminta maaf secara bersemuka.
Terdahulu, Eyda dikecam orang ramai berikutan perbuatannya menerbitkan video menunjukkan dirinya kentut di mikrofon bilik kawalan utama kapal KD Selangor, yang ketika itu menganjurkan Hari Terbuka Armada untuk orang awam.
Ramai yang mengecam Eyda, termasuk pesara tentera berikutan perbuatannya itu menghina dan menjatuhkan maruah TLDM di media sosial.