Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan melibatkan sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji, berdekatan Medan Gopeng, Ipoh, Perak malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo, turut mengesahkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima bantuan perubatan.
Menurutnya, pesawat latihan itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8:07 malam. Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA berkenaan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong menzahirkan rasa sedih dengan kejadian pesawat ringan yang terhempas di Ipoh itu.
“Saya dimaklumkan bahawa seorang juruterbang pesawat Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh telah disahkan maut.
“Manakala seorang lagi pembantu juruterbang kini dirawat di hospital akibat kecederaan di bahagian kepala. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, CAAM dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menyiasat insiden berkenaan secara mendalam.
“Kejadian yang berlaku ini amat tragis dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenalpasti punca kemalangan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan sebuah pesawat ringan dilaporkan terhempas di tepi Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, Ipoh malam ini.
Difahamkan terdapat dua mangsa dalam pesawat terbabit yang tersepit dan operasi menyelamat sedang dijalankan oleh pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 malam.
Kejadian itu turut tular di media sosial melalui beberapa gambar dan video memaparkan pesawat bernombor pendaftaran 9M-BAA itu dalam keadaan terjunam dan tersangkut di pagar berhampiran longkang besar. – Malaysiapost