Belum lagi reda isu dua video judi Hari Raya yang mempromosi aktiviti perjudian dalam talian, satu lagi klip video judi terbaharu memaparkan wanita Melayu bertudung mulai tular hari ini.

Walaupun tidak berbentuk video lagu raya seperti sebelum ini,  namun ia masih mengetengahkan konsep yang sama dan dilihat video ini lebih jelas mengajak orang ramai untuk bermain judi.

Kemunculan iklan dalam bentuk video berdurasi 30 saat itu memaparkan watak seorang wanita mengajak orang ramai bermain pelbagai aktiviti perjudian yang disediakan oleh Syarikat ECC Empire. 

Berdasarkan klip video itu, iklan terbabit dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat judi dalam talian berkenaan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatannya untuk meraih wang berganda.

Antara bait kata-kata yang dipaparkan adalah “minat main slot games, live baccarat dan roulette syarikat ECC Empire adalah pilihan pertama anda. Seminit deposit tiga minit withdraw. 

“Deposit sekarang anda akan dapat welcome bonus 50 peratus dan dapat tambahan angpau percuma RM5. Jom mari main game dengan saya. Jika anda mahu cuba, cuba yang paling selamat.”

Syarikat tersebut merupakan syarikat judi dalam talian yang bertujuan mengajak orang ramai khususnya umat Islam yang terkesan menggunakan perkhidmatannya untuk meraih wang berganda.

Klip video iklan asal tersebut dipercayai dimuat naik di media sosial antaranya Facebook dan YouTube. 

Namun hasil carian di laman berkenaan hari inimendapati iklan asal tersebut sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *