GARA-GARA tidak puas hati kena hon, seorang penunggang motosikal sanggup mengejar sebuah bas sebelum membelasah pemandunya ketika kedua-dua kenderaan itu berhenti di tepi jalan.

Video antara pemandu bas dari Pihak Berkuasa Transit Massa Bangkok (BMTA) dan penunggang motosikal itu tular di media sosial Thailand.

Laman Facebook rasmi BMTA melaporkan bahawa insiden itu membabitkan salah seorang pemandu bas awam nombor 3, yang memberi perkhidmatan kepada penumpang di Jalan Phetchaburi 2, Bangkok.

Pemandu bas itu memaklumkan penunggang motosikal terbabit menunggang di sebelah kiri bas dan menggunakan telefon bimbit ketika berbuat demikian.

Bimbang terhadap keselamatannya, pemandu bas itu memutuskan untuk membunyikan hon kepada penunggang tersebut.

Bagaimanapun, dia naik berang dan mengejar bas tersebut sehingga kedua-dua kenderaan itu sampai ke Queen Sirikit Park.

Di situ, penunggang motosikal tadi menumbuk badan bas hingga membuatkan pemandu itu turun dari kenderaan untuk melihat apa yang berlaku.

Malangnya, dia kemudian ditumbuk oleh penunggang motosikal itu namun tindakannya memakan diri selepas pemandu bas itu mempertahankan diri dan membalas tumbukannya.

Video itu kemudian menunjukkan penunggang motosikal itu dibelasah hingga jatuh terduduk dan seluarnya hampir terlondeh bawah punggung.

Seorang pegawai dari Balai Polis Bang Sue menerima laporan kes berkenaan manakala pihak BMTA memaklumkan akan menyiasat kejadian itu dan menghukum pemandu mengikut peraturan syarikat. — Agensi

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *