Allahyarham Adibah Noor yang disembahyangkan di Masjid Al-Ansar pagi tadi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Keramat.

Menerusi perkongsian daripada wartawan Astro Awani, Firdaus Azil, jenazah dimandikan terlebih dahulu di masjid berkenaan sebelum solat jenazah dilakukan.

Terlihat juga rakan-rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat allahyarham memandangkan pelantun lagu Terlalu Istimewa ini sangat disegani dalam industri seni Tanah Air.

Menerusi laporan ringkas dari Astro Awani lagi, ratusan kenalan berupa rakan dan ahli keluarga allahyarham dilihat sama-sama mengiringi jenazah allahyarham yang dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Ahli keluarga allahyarham sempat membuat pengumuman di masjid memohon agar orang ramai dapat memaafkan salah dan silap beliau ketika hidup serta meminta dihalalkan segalanya.

Menerusi perkongsian dari Bernama pula, beberapa keping gambar pusara allahyarham yang sudah selesai dirapikan telah dikongsi di media sosial.

Dapat dilihat orang ramai masih lagi memenuhi sekitar tanah perkuburan untuk sama-sama membacakan talkin buat allahyarham.

Allahyarham telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam, 18 Jun 2022 di Hospital Gleaneagles.

Beliau yang baru sahaja berkongsi gambar terkini beberapa hari yang lalu terlihat berbeza berbanding sebelum ini namun memaklumkan fizikalnya berubah kurus kerana amalan diet yang dilazimi namun tidak mendedahkan penyakit sebenar yang dihidapi.

Semoga Allahyarham Adibah Noor ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Twitter Firdaus Azil (Astro Awani)Bernama, Facebook Bernama Radio, Kredit foto Bernama Radio

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.