Tular di laman sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi dua lelaki didakwa mencuri sebuah motosikal dekat Kampung Masjid Masai, Seri Alam,Johor pada pukul 1.30 petang hari ini.

Menerusi rakaman terbabit turut menunjukkan aksi dua lelaki mengangkat sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC sebelum memasukkan ke dalam kenderaan utiliti sukan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut bukanlah seperti yang didakwa.

Sebaliknya, motosikal tersebut telah ditarik kerana gagal membayar tunggakan ansuran bulanan.

“Dua lelaki di dalam rakaman tersebut merupakan wakil sebuah syarikat kredit,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Jelasnya, wakil syarikat kredit terbabit telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Taman Jaya.

Pada petang tadi seorang pengguna Facebook telah memuat naik rakaman kejadian tersebut di laman sosial beserta dua keping gambar meminta bantuan orang ramai mencari motosikal yang dikatakan “dicuri”.

“Assalamualikum minta jasa baik kawan2 tlg cari si penyamun..no plat lc135 v6 jrx 1874..kejadian kul 1:30 ptg Area seri alam, masai Jalan tanjung kampung masjid masai,” tulis hantarannya di Facebook itu.

Artikel⚡UtusanTV

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.