SEORANG penunggang motosikal melalui detik tragis apabila dirempuh dan tercampak di laluan jalan raya PGA Cheras, Hulu Langat, Selangor pada Ahad.

Kemalangan itu berlaku susulan penunggang terbabit dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika menunggang di laluan berkenaan.

Menunggang dengan kelajuan yang agak tinggi, mangsa kemudiannya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi ‘King’ dari arah belakang yang sekali gus mengakibatkan lelaki terbabit tercampak ke tengah jalan.

Namun, perhatian warganet dilihat lebih tertumpu kepada dua penunggang yang tidak memberikan bantuan kepada mangsa dalam kemalangan terbabit.

Meskipun kejadian itu berlaku di hadapan mereka, kedua-duanya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi mahupun bantuan, sebaliknya hanya berdiam diri dan tidak berganjak daripada motosikal masing-masing.

Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua lelaki terbabit akhirnya membantu mangsa atau tidak kerana rakaman dashcam terhenti di situ.

Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu menerima lebih 190 jumlah perkongsian setakat ini.

Berdasarkan rakaman tersebut, mangsa dipercayai mengalami kecederaan serius akibat rempuhan berkenaan.

Susulan insiden itu, dua lelaki lain dilihat meluru ke arah mangsa untuk menghulurkan bantuan dan melihat situasi semasa.

Namun di sebalik kekecohan yang berlaku, dua penunggang yang berada di hadapan dilihat langsung tidak berganjak dan tidak mempedulikan kemalangan terbabit.

Ia sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dan kecaman daripada warganet berhubung kejadian tersebut.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *