BEBERAPA kawasan di seluruh negara termasuk Lembah Klang mengalami hujan lebat dan angin kencang, lewat petang tadi.

Kedaaan cuaca buruk itu dikongsi pengguna di media sosial yang mendakwa hujan lebat disusuli guruh kira-kira jam 7.20 petang itu, turut mengakibatkan kawasan rumah mereka terjejas sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pokok tumbang di 19 lokasi sekitar ibu negara hingga jam 8 malam tadi.

“19 lokasi itu termasuk Jalan Kuching; Jalan Ampang; Jalan Jinjang Aman 2; Jalan Kampung Padang Balang; Jalan Danau Saujana 1 Danau Kota, Jalan Sultan Ismail (Bukit Nanas); Jinjang Selatan; Astana Mont Kiara; PSN Raja Chulan dan Kampung Padang Balang.

“Selain itu, pokok tumbang juga dilaporkan di Jalan Dato Senu 26; Jalan Syed Putra; Jalan Stesen Sentral 2; Jalan Ipoh (SMK Batu Muda); Tasik Titiwangsa; Jalan Udang Kepal Segambut; Masjid Negara; Jalan Santan, Segambut dan Jalan 2/23D Danau Kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, ada juga laporan yang terima membabitkan pokok tumbang menghalang laluan selain menghempap rumah. Kerja-kerja mengalihkan pokok sedang dijalankan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sejumlah kawasan sehingga 10 malam ini.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara kawasan yang terlibat termasuk di Kemaman (Terengganu), Bentong (Pahang), Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang di Selangor.

Sementara itu, amaran sama turut dikeluar melibatkan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan.

Antara lain, Negeri Sembilan melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau serta Tampin. Di Melaka melibatkan daerah Jasin, di Johor pula melibatkan tiga kawasan iaitu di Tangkak, Segamat dan Muar.

Di Sarawak tujuh daerah iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang turut dibadai hujan lebat dan angin kencang.

Sementara Sabah pula, melibatkan Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Ranau, Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran dan Kudat.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *