Polis dalam proses akan memanggil semula saksi-saksi kes tuduhan rogol yang dibuat oleh seorang wanita terhadap rakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, saksi-saksi akan dipanggil semula untuk melihat kepada aspek lain dalam siasatan itu.

“Berdasarkan laporan yang baru diterima, mungkin ada keperluan untuk memanggil semula saksi-saksi bagi melihat aspek lain dalam siasatan itu.

“Setakat ini, kes terbabit masih dalam siasatan polis dan kita dalam proses untuk melengkapkan siasatan bagi dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” ujarnya ketika sidang akhbar selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini hari ini.

Jelas Azmi, setakat ini polis sudah membuat dua tangkapan bagi membantu siasatan, namun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Semalam, media melaporkan seorang wanita mendakwa dirogol pada Disember tahun lalu, dan menamakan dua kenalan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, dalam laporan polis dibuatnya berhubung kejadian itu.

Seorang daripada mereka ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Hilman.

Laporan polis itu telah didedahkan bekas pemimpin UMNO, Datuk Lokman Adam.

Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain, pada Jumaat, 4 Disember tahun 2020. 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.