SEORANG ahli pasukan polis elit SWAT maut apabila rakan sekerjanya secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan yang tepat mengenai dada dalam satu insiden pada Khamis.

Kejadian yang berlaku di San Pablo, Laguna, Filipina itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial.

Dalam video pendek itu, mangsa yang dikenali sebagai Korperal Frank Aldene Dela Cruz bersama tiga lagi rakannya dilihat sedang membersihkan senjata di sebuah meja.

Namun, secara tiba-tiba pistol yang dikendalikan suspek, Korporal George Mervin Duran melepaskan tembakan meskipun pada awalnya didapati sudah mengeluarkan peluru daripada senjata berkenaan.

Ketua pasukan penyiasat, Sarjan George Maramang berkata, siasatan awal mendapati rutin pembersihan itu dilakukan untuk diperiksa pihak atasan berdasarkan masa kejadian.

“Mereka sedang melakukan rutin seperti biasa untuk proses pemeriksaan,” katanya.

Satu laporan yang dikeluarkan turut menyebut bahawa pistol yang menjadi senjata pembunuhan bukanlah milik Duran, tetapi sudah ditukar tanpa disedari oleh rakan setugasnya.

Selepas kejadian tersebut, Dela Cruz dikejarkan ke hospital berdekatan, tetapi disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba.

Ketika ini, Duran sudah ditahan bagi membantu siasatan. — Agensi

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *