BUTTERWORTH: Polis menafikan dakwaan wujud unsur sabotaj dalam kejadian seorang anggota polis cedera di leher berikutan tali tangsi ditemui di Kilometer (KM) 129.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Sungai Dua di sini, Ahad lalu.

Sebaliknya siasatan polis mendapati tali tangsi itu adalah tali layang-layang yang dipercayai terputus sebelum terjatuh di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anggota polis berusia 24 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Bertam.

“Anggota polis itu dalam perjalanan dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) ke IPD Seberang Perai Utara untuk menghantar gari dan melalui lebuh raya PLUS dengan menunggang motosikal di lorong kiri.

“Apabila tiba di KM129.6 pada jam 4.30 petang dia merasai bahagian lehernya tersangkut pada benda yang melintang atas jalan berkenaan dan menyebabkan lehernya terluka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota polis itu kemudian memberhentikan motosikalnya bagi membuat pemeriksaan sebelum mendapati terdapat tali tangsi yang melintangi jalan dari sebelah kiri ke kanan di laluan arah bertentangan.

“Anggota polis itu seterusnya mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sebagai pesakit luar ekoran kecederaan dialaminya,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan yang dijalankan menjumpai tali tangsi dalam keadaan berselerak di sekitar rumput dibahu jalan sebelah kiri yang tidak terikat pada mana-mana objek.

“Temubual anggota peronda PLUS yang bertugas ketika kejadian memberitahu ini adalah kejadian pertama di lebuh raya dan seorang saksi memaklumkan kemungkinan tali layang-layang yang terputus.

“Saksi dan rakan setugas kemudiannya mengesan objek di tempat kejadian dan menjumpai tali tangsi dari atas pokok susur keluar Sungai Lokan hingga ke bahu kiri lebuh raya dan tidak merentang laluan lebuh raya yang mana tindakan untuk mengeluarkan tali itu terus diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Noorzainy menasihati orang awam supaya tidak gusar serta membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, insiden itu tular di laman sosial yang rata-rata netizen membuat andaian dengan mendakwa terdapat unsur sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab.

▶️Berita Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.