TINDAKAN sekumpulan lelaki bermotosikal dan kereta menghalang jalan utama bagi mengiringi van jenazah baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Walaupun ia dianggap usaha yang murni namun ada juga yang mengecam tindakan mereka kerana dilihat seolah-olah mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Bahkan ada yang beranggapan tindakan itu mementingkan diri sendiri kerana ia membabitkan perarakan van jenazah individu yang dipercayai ketua gangster.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Meru, Klang.

Melalui video tular yang dimuat di halaman Facebook We are Malaysians pada Sabtu itu menunjukkan sekumpulan lelaki menghalang jalan utama di sebuah persimpangan lampu isyarat bagi memberi laluan kepada van jenazah melalui jalan tersebut.

“Pengebumian untuk ketua gangster.

“Beberapa jalan telah dihalang oleh ahli-ahli kumpulan kongsi gelap dan rakan-rakan mereka bagi mengiringi si mati,” tulisnya.

Menerusi rakaman video lebih daripada seminit itu kelihatan beberapa pengguna lain terpaksa memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada van jenazah berkenaan.

Malah sekumpulan lelaki itu juga dilihat tidak menggunakan topi keledar dan membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal.

Video itu telah mendapat lebih daripada 36,000 tontonan setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, ada di antara warganet yang mempersoalkan tindakan sekumpulan lelaki itu yang dianggap mementingkan diri sendiri.

Menurut Mohdnorkamariza Mohamed, tindakan sekumpulan individu yang tidak menggunakan topi keledar itu tidak boleh diterima.

“Sudahlah tidak menggunakan topi kaledar, halang jalan lagi. Minta polis pantau,”katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna maya Sebastian meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap sekumpulan lelaki tersebut.

“Tolong ambil tindakan, nampak sangat sudah menyalahi undang-undang,” tulisnya.

Belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa berkenaan kejadian tersebut. — Majoriti

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.