Polis cari penunggang motosikal ‘ghaib’ selepas terlibat kemalangan
POLIS sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang ghaib menghilangkan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan di Batu 6, Jalan Gombak Lama, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian itu tular di media sosial dan pihaknya telah mengesan rakaman kemalangan tersebut pada pukul 8 malam semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku pada pukul 2 petang, ketika pemandu kereta berusia 87 tahun dalam perjalanan dari Kampung Kerdas ke Gombak.
“Sampai di tempat kejadian, kenderaan warga emas yang hendak keluar simpang telah dirempuh oleh sebuah motosikal yang datang dari arah kanan.
“Akibat kemalangan, kereta warga emas terbabas ke bahu kiri jalan manakala penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan usaha mengesan penunggang motosikal kini giat dijalankan.
Kes disiasat dibawah Seksyen Rule 3(2)(B) LN166/5943(1).
Orang ramai yang melihat kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil di talian 019-6004104 atau 03-61262222.
Artikel⚡UtusanTV