Kuala Lumpur : Tindakan pantas orang awam menyelamatkan Panggung Bandaraya di Dataran Merdeka, di sini, daripada dijilat api selepas sebuah meja di koridor bangunan bersejarah itu terbakar, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9 pagi tadi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku kebakaran membabitkan sebuah meja yang diletakkan di koridor bangunan berkenaan untuk kegunaan pengawal keselamatan.
“Kebakaran itu turut merebak ke tingkap premis berkenaan yang musnah sepenuhnya dan api berjaya dipadamkan oleh anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pengawal keselamatan dan orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.48 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Great blog post. Really looking forward to read more. Want more. Lavern Chaisty