SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum diseret dalam kemalangan di 58 Jalan Jementah-Muar di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 80-an ditemui sudah tidak bernyawa tersepit pada tayar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati, Perodua Myvi yang dipandu seorang pemuda berusia 30-an dalam perjalanan dari arah Jementah menghala Segamat.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang warga emas itu disyaki keluar secara tiba-tiba ke laluan kereta berkenaan.

“Penunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kiri kereta tersebut sebelum terjatuh lalu terseret dan tersangkut pada tayar belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Bahrin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jementah.

Ujarnya, pihaknya meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Polis Segamat turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai atau Balai Trafik Segamat. -KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.