Kota Kinabalu: Bukan saja gagal memecah masuk sebuah rumah di Taman Khidmat, di sini, semalam, malah terpaksa memanjat bumbung selepas dikejar dua anjing peliharaan pemilik kediaman berkenaan.

Itu nasib malang seorang penjenayah berusia 38 tahun yang akhirnya ditahan polis.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kehadiran suspek disedari pemilik rumah sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba memecah masuk ke rumah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, suspek dikejar dua anjing menyebabkan dia sukar melarikan diri dan terpaksa memanjat bumbung rumah.

“Kehadiran suspek disedari penghuni rumah berusia 65 tahun yang terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

“Sepasukan polis terus bergegas ke tempat kejadian sebelum berjaya menahan suspek dan membawanya ke Balai Polis Luyang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika ditahan, suspek turut didapati memegang sebatang besi.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif syabu.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di IPD Kota Belud, mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.