Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) mendesak Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman, dipecat serta-merta kerana gagal menguruskan insiden melibatkan dua tren LRT yang bertembung dalam terowong antara Stesen Kampung Baru dan KLCC, semalam.

Presiden Ajit Johl berkata beliau malam tadi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengunjungi lokasi bencana yang disifatkan terburuk dalam sejarah pengangkutan sistem tren negara.

“Ini tidak menghormati keselamatan dan kebajikan penumpang,” katanya kenyataan.

Sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 lagi mengalami cedera ringan dalam pertembungan dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya pada 8.45 malam.

Kemalangan seperti itu kejadian pertama dalam sejarah sejak ia beroperasi 23 tahun lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak (menghala ke Kelana Jaya) membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya (menghala ke Gombak) tidak membawa penumpang.

Dalam pada itu, beliau mahu Prasarana, sebagai syarikat tunggal bertanggungjawab menguruskan sistem pengangkutan awam negara bertanggungjawab melindungi penumpang yang tercedera dengan memastikan rawatan dan pampasan yang sewajarnya.

“Ini masalah yang sangat serius. Keselamatan penumpang pengangkutan awam adalah masalah yang telah disuarakan secara konsisten 4PAM sejak tujuh tahun lalu.

“Bagaimana operator (Prasarana), penggubal dasar, dan Kementerian Pengangkutan dapat memberi jaminan bahawa pengguna akan dilindungi dan diwakili dengan baik, ketika mereka tidak berada sekali dalam inkuiri?” soal beliau.

Beliau menegaskan, pihaknya sudah meminta kerajaan membentuk Tribunal Pengangkutan Awam bagi memastikan keselamatan penumpang pengangkutan awam dilindungi dan terjamin.

“4PAM merayu Perdana Menteri untuk memastikan pengguna diwakili dan menubuhkan segera Tribunal Pengangkutan Awam untuk menyiasat insiden ini,” katanya.

Kelibat Tajuddin di lokasi kejadian malam tadi menjadi tanda tanya warganet apabila hanya Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilihat turun padang.

Tajuddin sudah melawat lokasi kejadian pagi tadi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.