Taiping: Bagi mencari kelainan dan juga menjadikan ‘trademark’ perniagaan, seorang peniaga meniup seruling sambil menjual dadih.

Shahidan Sudin, 48, kini dikenali di sekitar daerah ini dengan tiupan serulingnya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas dia terfikir untuk mencari kelainan supaya dadih jualannya mudah dikenali.

“Saya mahu jadi seperti jenama lain yang mempunyai ‘trademark’ dan membuat keputusan untuk bermain seruling ketika menjual.

“Kini, apabila orang ramai mendengar tiupan seruling, mereka mudah untuk tahu saya sudah memulakan perniagaan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang sudah menjual dadih sejak lebih 15 tahun lalu berkata, maklum balas diterima daripada pembeli begitu menggalakkan.

Malah katanya, ia antara hiburan buat pembeli sambil mereka menikmati dadih.

“Saya belajar meniup seruling daripada Youtube saja dan menjadikan lagu terkenal 80-an dan 90-an sebagai melodi.

“Sambil pembeli menikmati dadih mereka juga boleh terhibur mendengar tiupan seruling,” katanya.

Beliau berkata, setiap hari jualan dadih akan bermula sekitar jam 12 tengah hari hingga 10 malam.

Katanya, lokasi jualan juga berubah mengikut kesesuaian namun kebanyakannya di lokasi tumpuan umum sekitar Taiping.

“Seronok juga apabila kelainan yang ditampilkan menerima sambutan yang menggalakkan sehingga tular di laman sosial.

“Saya anggap ini juga adalah rezeki dan boleh menambah pendapatan. Terima kasih pada netizen yang menularkan video saya meniup seruling ketika berniaga,” katanya.

Dalam masa sama, dadih Shahidan juga diinfak kepada madrasah dan tahfiz sekiranya ada pihak yang sudi menderma.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.