Suasana lobi mahkamah kecoh seketika apabila petugas media dipercayai dihalang merakam gambar oleh seorang peguam dipercayai mewakili Samirah Muzaffar yang hadir bagi mendengar keputusan peringkat pendakwaan membunuh suaminya, Allahyarham Nazrin Hassan empat tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam itu dikatakan menjerit dan meminta supaya diberi laluan selain cuba menolak jurugambar yang melakukan tugasan di lokasi.

Kejadian itu berlaku ketika Samirah bersama beberapa peguam lain tiba untuk menaiki lif ke mahkamah tersebut, kira-kira pukul 9.05 pagi.

Samirah, 47, bersama dua remaja berusia 16 dan 19 tahun akan dibacakan keputusannya di Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan peringkat pendakwaan menutup tirai dengan hujahan akhir pada 22 April lalu.

Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 12 Mac 2019 atas pertuduhan membunuh Nazrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund dekat sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 13 Jun 2018 pukul 11.30 malam hingga 4 pagi keesokannya.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dengan jenayah tersebut dan sepatutnya dituduh bersama, namun masih lagi bebas. – UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.