Seorang lelaki diburu selepas tindakannya membakar mercun di balkoni sebuah pangsapuri di Meru, Ipoh tular di laman sosial sejak semalam.
Berdasarkan video yang dimuatnaik warganet di Twitter itu, menunjukkan seorang lelaki dengan selamba bermain mercun di balkoni tingkat atas sebuah pangsapuri dan tidak memikirkan keselamatan penduduk lain.
Video berkenaan turut mendapat kecaman warganet yang menyifatkan lelaki berkenaan tidak bertanggungjawab dan berisiko menjadi seorang yang lebih teruk daripada itu.
Warganet, Husin Hasan berkata, lelaki berkenaan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa kerana berkemungkinan kejadian sama akan berulang.
“Tahu la dah nak raya, selamba je bakar mercun dari balkoni macam pangsapuri tu bapak kau yang punya. Tak fikir ke kalau ada yang sedang melepak kat balkoni masing-masing tiba-tiba terkena mercun kau,” katanya.
Bagi Waty Saifuddin, perbuatan lelaki berkenaan perlu dijadikan iktibar kepada mereka yang tidak berfikir panjang untuk melakukan perkara sama biarpun sudah dilarang berulang kali.
“Kalau nak main mercun depan rumah, kena duduk rumah landed. Jangan nak buat perangai buruk tu di rumah apartment. Silap hari bulan ke dalam (lokap) kau nanti,” katanya.