Kuala Lumpur: Suri rumah berdepan detik cemas apabila disamun ketika membeli barang keperluan di sebuah kedai runcit di Kampung Rinching Hilir, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 22 tahun berhubung kejadian itu jam 2 petang tadi.

“Ketika kejadian, mangsa yang juga pelanggan kedai runcit terbabit sedang membeli barangan keperluan.

“Dalam kejadian ini, mangsa bergelut dengan suspek sebelum penjenayah merentap rantai tangan pengadu.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran kedai. Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kejadian seorang lelaki memakai topi keledar merah meragut mangsa di hadapan kaunter di sebuah kedai.

Video berdurasi 40 saat itu dikongsi di pelbagai kumpulan WhatsApp hari ini.


Rakaman CCTV kes samun gelang emas di Kampung Rinching Hilir ,Bangi.

Suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hitam (rim warna kuning) no pendaftaran BPU 2735.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *