KEMAMAN – Seorang lelaki cedera dibelasah dua individu dalam insiden yang dikatakan bermotifkan berebut wanita di sebuah pusat perniagaan di Bandar Chukai di sini semalam.

Perbuatan dua lelaki itu telah tular di media sosial menerusi penyebaran video berkenaan dipercayai dirakam orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut.

Berdasarkan video berdurasi 29 saat tersebut, mangsa yang menunggang sebuah motosikal telah dibelasah oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva.

Dua lelaki berkenaan terus membelasah mangsa walaupun cuba dileraikan sebahagian orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal sedang berbincang dengan dua lelaki bagi menyelesaikan masalah mereka.

Tidak lama kemudiannya, motosikal mangsa dikatakan terlajak sebelum terlanggar cermin sisi kereta dinaiki dua lelaki itu.

Ia telah membuatkan kedua-dua lelaki berkenaan naik berang sebelum bertindak memukul mangsa hingga cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

▶️ KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.