SEREMBAN – Pihak polis sedang mengesan suspek dan mangsa yang terlibat dalam satu kejadian pergaduhan di sini selepas video kes tersebut tular di media Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, tiga video pendek yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang memukul mangsa lelaki dengan kaki dan tangan di dalam sebuah rumah mula tular kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular itu semalan dan kes disiasat di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Walau bagaimanapun tarikh, masa, lokasi dan juga identiti suspek serta mangsa belum dapat dikenalpasti, kejadian disyaki berlaku di kawasan Seremban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, sehubungan itu, usaha untuk mengesan mangsa dan kesemua suspek tersebut sedang giat dijalankan serta siasatan lanjut masih diteruskan. – K! ONLINE.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.