Sepasang suami isteri yang videonya tular dalam insiden penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu.

Pasangan itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan terhadap pasangan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menangguhkan sebentar bagi hukuman dan fakta kes.

Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak angkat perempuan yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah sekitar Beranang, Selangor pada 18 Julai lalu.

Difahamkan, polis menerima laporan berhubung kejadian selepas tular di media sosial memaparkan insiden penderaan kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, polis bertindak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu pada pukul 2.30 pagi.

Menurut polis siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah.

Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya. – KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.