PENYANYI nasyid yang juga komposer, Yasin Sulaiman hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, supaya dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk diperiksa tahap kesihatan mental.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad selepas membenarkan permohonan peguam bela Ariff Azami Hussein yang mewakili penyanyi itu mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Semasa prosiding kes tersebut hari ini, peguam bela memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya membuat permohonan itu kerana terdapat asas yang kuat supaya pakar psikiatrik memeriksa kesihatan mental Yasin dan membuat pemerhatian untuk memastikan dia layak untuk dibicarakan atau tidak.
Katanya, pihaknya mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Kecelaruan Bipolar Tahap I sejak tahun 2007.
“Laporan Pusat Pakar Universiti Malaya (USMC) menunjukkan anak guam saya pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.
“Laporan terkini juga mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawanya,” kata Ariff Azami.
Permohonan peguam bela itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini yang menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun ini untuk prosiding mengemukakan laporan psikiatrik.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan tersebut, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. MP