Bandar Baharu: Pasukan bomba sedang berusaha mencari mangsa dalam sebuah Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort, Serdang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.24 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang tiba di lokasi pada jam 6.27 petang.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan dari MERS 999 yang sebuah kereta jatuh ke dalam tasik berkenaan.

“Berikutan itu, sebuah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi penyelamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini belum dapat dipastikan jumlah mangsa dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dengan bantuan BBP Selama, Perak.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani turut menyertai operasi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi berapa mangsa dalam kenderaan berkenaan.

“Operasi sedang dilakukan di lokasi terbabit.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan datang ke tasik itu untuk berjoging… mungkin tertekan minyak atau sebaliknya. Saya akan maklumkan kemudian, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

▶️Harian Metro

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.