Alor Setar: Wanita warga emas dan anak perempuannya lemas selepas Proton Persona yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di Tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, dalam kejadian pada 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Hasmah Mat Isa, 69, dan anaknya Noraiza Hashim, 28.

“Siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.

“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dengan bantuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BPP) Serdang dengan dibantu oleh BBP Selama, Perak dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat Hasmah berjaya dibawa keluar oleh Pasukan PPDA pada 8.40 malam manakala mayat anaknya pada 8.59 malam tadi.

“Sementara Proton Persona itu dibawa naik ke permukaan pada 11 malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Berita berkaitan

• Dua mangsa kereta terjunam dalam tasik dijumpai

• Kereta terjunam dalam tasik

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *