GEORGE TOWN – Pasukan bomba mengambil masa hampir 25 minit bagi membantu mengeluarkan seorang pemandu kereta yang tersepit dalam kereta selepas terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang tadi, mangsa lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Suzuki Swift berwarna merah ditemui dalam keadaan tersepit dalam kenderaannya yang terbalik.

Pemandu kereta Suzuki Swift datang dari arah Bayan Lepas dan kejadian kemalangan itu membabitkan dua buah lagi kereta iaitu Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mustakin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.53 petang tadi dan tiba ke situ kurang lima minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati pemandu kereta Suzuki Swift masih berada di dalam keretanya.

“Anggota mengunakan peralatan khas untuk menstabilkan kereta dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ketika itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 25 minit kemudian dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Dalam kejadian tersebut, dua pemandu kereta lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan memberitahu, pemandu kereta Suzuki Swift tersebut dilaporkan maut dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang pada pukul 4.10 petang tadi.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan bedah siasat ke atas mayat lelaki itu akan dijalankan sebaik menerima keputusan saringan Covid-19,” katanya di sini sebentar tadi. – K! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.