SEORANG kanak-kanak lelaki warga Somalia berusia tujuh tahun, maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur, malam tadi ketika pulang dari mengaji al-Quran.

Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan, berkata pihaknya menerima maklumat awam pada jam 7.49 malam tadi mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki terjatuh bangunan di kondominium berkenaan.

Menurutnya, siasatan ditempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di atas jalan di Blok B kondominium berkenaan dan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan kedua-dua tangan patah serta terdapat kesan darah keluar dari telinga.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian seluar panjang dan baju lengan panjang serta berkasut, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Hasil siasatan awal dapati mangsa tinggal di blok B dan telah pergi mengaji di blok A. Selepas selesai mengaji semasa pulang ke rumah, mangsa turun ke tingkat lima yang terdapat laluan menghubungkan blok A dan blok B.

“Mangsa dipercayai memanjat tingkap sebelum terjatuh selepas gagal keluar dari pintu yang memerlukan kad akses,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tinggal bersama ibunya juga seorang warga Somalia dan pemegang kad UNHCR serta sudah berada di Malaysia sejak 2017.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222.

“Maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *