Seorang lagi lelaki yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui klip video yang tular di media sosial, hari ini sudah berjaya diberkas polis.

Lelaki berusia 35 tahun ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang ketika melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, pada jam 11.30 pagi tadi.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

Muhamad Zaki berkata, permohonan reman terhadap suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu akan dibuat esok.

Terdahulu media melaporkan tular satu klip video berdurasi empat minit 13 saat itu, memaparkan seorang lelaki bertindak biadap dengan menghina agama Islam serta mencabar orang Islam supaya mencari dan berhadapan dengannya.

Antara kandungan video itu, lelaki berkenaan menggambarkan Islam dan penganutnya sebagai pengecut dengan merujuk kes seorang lelaki yang didakwa menghina Islam dan dibelasah hingga cedera di muka, semalam.

Malah, lelaki yang mengenakan seluar jeans lusuh pendek dan berbaju merah itu juga telah mencabar orang Islam supaya mencari dan berhadapan dengannya jika berani. –

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.