IPOH: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang berlaku di Jalan Kuala Kangsar dekat sini, di mana video rakaman aksi tersebut tular dalam media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, satu laporan polis diterima berkaitan kejadian itu yang dibuat pemandu kereta tersebut pada pukul 1.13 petang di Balai Polis Kampung Tawas, kelmarin.

Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada pukul 10.15 pagi iaitu hari sama laporan polis dibuat dimana pengadu ketika itu dalam perjalanan dari arah pekan Ipoh ke Klebang Restu.

“Kejadian itu dikatakan bermula selepas pemandu kereta membunyikan hon ke arah penunggang motosikal yang didakwa menunggang dalam keadaan berbahaya.
“Tindakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati lelaki terbabit sebelum dia bertindak membaling batu ke arah kereta.

Ini menyebabkan pemandu kereta memberhentikan kenderaannya dan berlaku sedikit kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tiada pergaduhan berlaku antara pemandu kereta dan penunggang motosikal namun lelaki itu mengaku ada menolak penunggang motosikal seperti mana yang terpapar dalam video tular.

Katanya, penunggang motosikal juga telah meminta maaf kepada pemandu kereta dan beredar dari lokasi kejadian tanpa membuat laporan polis.

“Pihak polis sedang mengesan penunggang motosikal yang terlibat dan sebarang maklumat mengenai kejadian diminta salurkan kepada pihak Polis bagi membantu siasatan. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.
Artikel⚡UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.