Pasangan kembar antara yang terlibat dalam nahas lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Meskipun sedih dengan nasib yang berbeza terhadap anak kembarnya yang merupakan anak sulung, sebagai ibu Masitah Md Isa, 44, tetap reda dengan apa yang berlaku. 

Masitah berkata, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, maut di lokasi kejadian, manakala kembarnya, Muhamad Syazwan Hafiz kini dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

“Saya mengetahui kejadian menimpa pasangan kembar itu selepas dihubungi rakan kepada anak dan terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku… sebaik sampai, saya tergamam melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan lalu terus mencari kedua-dua anak saya.

“Mula-Mula saya panggil nama adik (Muhamad Syazwan Hafiz) dan dia mengangguk. Saya kemudian memanggil nama abang (Muhamad Shazwan Hakim) tetapi dia tiada respons, kaku dah. Saya hilang kata-kata,” katanya kepada media dipetik Berita Harian di Jabatan Forensik HPP, hari ini. 

Sementara itu, polis mengesahkan empat pelumba haram maut, manakala tiga lagi parah dalam nahas berkenaan. 

Tiga daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPP. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22; dan Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah pula ialah Mohd Haziq Harris, 34; Muhammad Rahimi Shukor, 19; dan Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar Georgetown.

“Kemalangan melibatkan beberapa motosikal disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata, siasatan juga mendapati kemalangan itu berlaku selepas beberapa penunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

Menurutnya, dua buah kereta turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan itu.

“Setakat ini, tujuh mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan. Empat disahkan maut iaitu tiga meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang meninggal dunia di HPP ketika menerima rawatan,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.