KAJANG – Perselisihan faham berkaitan hantaran di Facebook menjadi punca seorang lelaki cedera dibelasah rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 48 tahun pada jam 12.40 tengah malam Sabtu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 10 malam, di mana mangsa berada di restoran berkenaan bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.

“Pengadu dan suspek berusia 39 tahun itu berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Nasir berkata, bagaimanapun suspek tidak berpuas hati dengan perbincangan itu lalu memukul mangsa dan rakannya menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan pengadu cedera di kepala.

“Mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek berkenaan sudah dikenal pasti dan sedang dikesan pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ahmad Faizal di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel⚡Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.