KAJANG : Akibat mengalami ‘microsleep’ ketika memandu, seorang pemandu merempuh 5 kenderaan yang diletakkan di petak parkir di Jalan TTDI Groove 1/2, di sini, malah menyebabkan seorang pekerja pembersihan jalan mengalami kecederaan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pukul 1.02 petang pada 9 Mei lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Mei lalu ketika pemandu itu sedang memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan pulang dari Jalan TTDI Groove 1/1 menghala ke rumahnya di Taman Jelok Indah.
“Sebaik sahaja tiba di Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu itu memaklumkan mengalami ‘microsleep’ lalu termasuk ke laluan bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandunya terlanggar lima kenderaan diletakkan di petak parkir dengan serpihan kenderaan terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu jalan berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, semua pemilik kenderaan terbabit selesai membuat laporan kemalangan pukul 4 petang, Selasa lalu.
“Pekerja pembersihan itu pula dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan. Polis sudah membuka kertas siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau menyeru kepada semua pihak terutama orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan polis berkait dengan kejadian ini. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu di boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Artikel⚡UTUSAN