SUBANG JAYA – Dua lelaki termasuk seorang wanita ditahan polis manakala seorang lagi lelaki masih diburu susulan kejadian kekecohan yang terjadi di sebuah restoran di Jalan SS 15/4 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita tempatan yang merupakan pengurus restoran berusia 55 tahun.

“Pengadu memaklumkan, ketika sedang bekerja kira-kira pukul 6 petang, terdapat tiga wanita dan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan dan mengeluarkan telefon bimbit dengan tujuan untuk membuat rakaman.

“Pengadu telah menegur agar tidak membuat rakaman namun tidak diendahkan dan suspek turut mengugut akan menularkan perkara tersebut sebelum bertindak menampar pipi kiri pengadu mengakibatkan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak di antara pekerja restoran dan suspek sebelum kesemua suspek beredar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Khalid, pihaknya turut menerima laporan polis daripada seorang wanita yang merupakan pelanggan restoran terbabit dan pelanggan tersebut memaklumkan bahawa kejadian itu tercetus setelah mereka menemui lalat di dalam nasi lemak yang dihidangkan.

“Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah menahan dua lelaki warganegara India yang merupakan pekerja restoran terbabit dan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kira-kira pukul tiga petang tadi.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan dan pihak polis kini sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menampar pengurus restoran tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata,” tegas beliau.

Terdahulu, tular dua video berdurasi tiga dan lima saat memaparkan kejadian kekecohan di sebuah restoran di Jalan SS 15/4 Subang Jaya melibatkan pelanggan serta pekerja restoran terbabit.

▶️KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.