Halloween disambut di negara bukan Islam pada 30 Oktober pada setiap tahun. Perayaan ini selalunya disambut pada waktu malam dan dilakukan dengan berpakaian aneh dan berjalan dari pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat dengan berkata “Trick or treat!”.

Perayaan ini yang satu ketika dahulu diharamkan kini sudah dirayakan di Arab Saudi. Boulevard Riyadh City bertukar arena pesta kostum dan berlangsung pada Khamis dan Jumaat lalu. Pelawat dibenarkan masuk ke Boulevard secara percuma dengan syarat mereka memakai pakaian yang menakutkan.

Tujuannya adalah untuk menciptakan suasana yang penuh dengan kegembiraan serta melihat kreativiti warga Saudi dalam menyambut perayaan itu.

Salah satu peserta, Abdulrahman, menyarung kostum makhluk mitologi Amerika Utara, Wendigo. Ini adalah kali pertama Abdulrahman merayakan Halloween di sana.

“Ini perayaan besar, jujur, dan ada menyeronokkan. Soal haram atau halal, saya tidak tahu tentang itu. Kami merayakannya hanya untuk suka-suka dan tidak lebih daripada itu. Kami tidak percaya pada apa pun,” katanya kepada Arab News.

Sementara Halloween telah lama diharamkan di negara itu, para hadirin di acara tersebut menggambarkan acara itu sebagai satu hiburan yang tidak berbahaya.

Salah satu pengunjung acara, Khaled Alharbi, berkata “Tindakan didasarkan pada niat. Saya hadir di sini untuk berseronok sahaja.” Alharbi datang bersama keluarganya dan mereka berpakaian seperti doktor, pesakit dan jururawat berlumuran darah. Ini juga pertama kalinya keluarga Alharbi merayakan Halloween.

Menerusi IRSYAD AL-FATWA KE-91, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa menyambut perayaan Halloween adalah haram di sisi Islam. Ini kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu,” Riwayat Abu Daud (4031).

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *