DUA lelaki parah selepas ditetak dengan parang dalam kes pergaduhan di Jalan Mutiara Raya, Cheras awal pagi semalam.

Video ngeri kecederaan parah itu turut memperlihatkan mangsa dilihat hilang jari tangan dan ditetak di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 23 dan 32 tahun itu ditetak dengan parang selepas dipercayai cuba menganggu isteri suspek.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan leher belakang.

Menurut Zam Halim, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menerima makluman daripada anggota Ronda Cegah Jenayah mengenai satu kes pergaduhan pada pukul 4 pagi, semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, suspek utama kes tersebut telah melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, lebih kurang pukul 7.30 malam semalam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras telah membuat tangkapan ke atas seorang wanita tempatan berusia 39 tahun.

“Wanita berkenaan ditahan di kawasan perumahan Taman Seri Aman, Cheras kerana disyaki bersubahat dengan suspek utama kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zam Halim memaklumkan pihaknya sedang memburu suspek utama kes berkenaan yang berusia 45 tahun dan berasal dari Mentakab, Pahang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Polis Cheras menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek serta kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel⚡UtusanTV

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *