Bapa cedera ditikam anak kandung

BUKIT MERTAJAM – Seorang warga emas cedera di perut dan tangan kiri selepas ditikam anaknya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Alma Jaya, di sini pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 11.16 pagi itu, anak mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk selepas ibunya menegurnya kerana tidak mahu makan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, pelajar tahun dua di sebuah kolej vokasional itu dikatakan mengambil sebilah pisau pemotong buah dari bahagian dapur dan terus mencederakan ayahnya yang berusia 60 tahun.

Menurutnya, kejadian berkenaan bagaimanapun dapat dileraikan.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang mengalami luka ringan di bahagian kiri perut dan ibu jari kiri dalam keadaan stabil.

“Polis telah menahan mangsa dan merampas sebilah pisau pemotong buah yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Tambahnya, siasatan awal mendapati anak mangsa kini sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan dari Bahagian Psikiatrik Hospital Bukit Mertajam sejak tahun 2020 kerana masalah kemurungan dan mental.

Shafee berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah dan dia tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

▶️Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *