🎥*(kualiti video kurang memuaskan & abaikan tarikh serta masa yang dipaparkan)

Kota Bharu: Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Padang Kala, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada 11.30 pagi menyebabkan mangsa Nik Mohd Hissham Mohamed, 45, meninggal dunia di lokasi kerana mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa yang berjalan di bahu jalan keluar dari Sekolah Kebangsaan Padang Kala ingin ke rumah sepupunya yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian.

“Menurut keterangan saksi, ketika mangsa berjalan di bahu jalan dari arah Peringat menghala Melor, datang sebuah kenderaan Perodua Axia dari belakang.

“Kenderaan yang dinaiki dua individu itu termasuk ke bahu jalan lalu melanggar mangsa menyebabkannya terseret sejauh 29 meter sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemandu kereta serta penumpang berusia 25 dan 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel⚡Harian Metro

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.